comscore
Tumpuan :
Politik

‘Anwar paling layak jadi PM ketika ini’- Endeavour-MGC

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima undian tertinggi sebagai individu yang layak memegang jawatan Perdana Menteri menerusi kaji selidik dijalankan Pusat Penyelidikan Pendapat Awam, Endeavour-MGC.

Kaji selidik yang dijalankan di antara 4 hingga 18 April lalu disertai seramai 1,068 responden meliputi semua kaum, termasuk 791 responden Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.

Ia membabitkan responden lelaki dan wanita masing-masing 50 peratus, manakala kaum Melayu mewakili 62.2 peratus, Cina 28.7 peratus, India 8.2 peratus dan lain-lain 0.9 peratus.

Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 60 tahun ke atas dengan golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun adalah paling ramai iaitu 26 peratus.

Hasil dapatan kajian itu, mendapati 46 peratus responden semua kaum dan 32 peratus responden Melayu mahu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memimpin negara untuk tempoh sekarang.

Pilihan kedua ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 25 peratus responden Melayu dan 17 peratus responden semua kaum berpendapat bekas Perdana Menteri itu masih layak menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, dalam undian sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan esok, PH menjadi pilihan tertinggi untuk responden semua kaum iaitu sebanyak 39 peratus.

Manakala Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 18 dan 17 peratus undian daripada kumpulan responden berkenaan.

Bagaimanapun, bagi responden Melayu, PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS dan GERAKAN berada di kedudukan teratas dengan undian sebanyak 26 peratus.

Manakala BN di tangga kedua dengan 24 peratus diikuti PH sebanyak 20 peratus.

Isu agama menjadi subjek paling penting sekiranya ingin memilih parti yang hendak diundi dengan responden Melayu merekodkan 30 peratus manakala semua kaum sebanyak 22 peratus

Faktor calon menjadi pilihan kedua dengan masing-masing responden Melayu dan semua kaum memberikan undian sebanyak 27 peratus.

Loading...
Terkini