comscore
Tumpuan :
Politik

Anwar tinggalkan pejabat selepas lima jam

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PETALING JAYA: Kenderaan yang membawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat meninggalkan pejabatnya di Bukit Gasing di sini jam 4.55 petang tadi.

Ia selepas lima jam keberadaan beliau di pejabat berkenaan dipercayai bagi mempengerusikan pertemuan di antara beberapa pemimpin PH dan Ahli Parlimen PKR.

Ditanya intipati perbincangan dan destinasi dituju, Presiden PKR tersebut berulang kali menjawab: “Saya nak tengok wayang, nah popcorn” sambil beliau menghulurkan bungkusan bertih jagung kepada pengamal media yang berkampung di sini sejak 8 pagi tadi.

Terdahulu, ketika kenderaan Ahli Parlimen Tambun terbabit keluar dari kediamannya di Sungai Long, Kajang jam 11.22 pagi tadi, Datuk Seri Anwar turut secara berseloroh memaklumkan bahawa beliau ‘mahu menonton wayang’.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim yang ditemui sebelum pertemuan terbabit berlangsung menjangkakan perbincangan antara pemimpin PH dan Ahli Parlimen PKR itu antara lain bagi membincangkan sentimen masyarakat yang dikhuatiri mengganggu gugat keharmonian negara.

Menurutnya, pertemuan berkenaan juga terarah kepada perbincangan isu jawatan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Antara yang dilihat hadir, dua Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli serta Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir, Ketua Penerangan PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

 

Loading...
Terkini