comscore
Tumpuan :
Politik

‘Bagi menang PRU-15, usah sibuk soal pemilihan UMNO’ – Ismail Sabri

Ismail Sabri pada Program Sembang Santai di Mengkarak Station, Bera. -Foto: NSTP

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan UMNO sekarang adalah waktu untuk menumpukan sepenuh perhatian memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan usah sibuk memikirkan soal pemilihan parti.

Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai tempoh enam bulan selepas PRU-15 untuk mengadakan pemilihan parti seperti diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Naib Presiden UMNO itu berkata, jika isu siapa bakal dipilih menjadi kepimpinan tertinggi parti dibangkitkan ketika ini, ia hanya menyebabkan perbalahan dalaman parti dan menyukarkan Barisan Nasional (BN) untuk menang PRU-15.

“Saya tidak menjadi Presiden UMNO ketika saya menjadi Perdana Menteri dan tidak perlu bincang soal pemilihan parti ketika sedang berkempen.

“Saya tidak mahu isu pemilihan parti ketika pilihan raya akan mengganggu dan menyebabkan kita bertelagah serta merugikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Penduduk Mengkarak Station, hari ini.

Baru-baru ini, calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyasarkan untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Kenyataan itu seperti menunjukkan Khairy mula berkempen untuk merebut jawatan utama UMNO dalam pemilihan parti itu akan datang.

Menteri Kesihatan itu ketika berkempen di Sunai Buloh turut menyatakan beliau mahu ‘membersihkan’ UMNO jika diberi peluang untuk memimpin parti itu.

Sementara itu, Ismail Sabri memberi jaminan beliau tidak akan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk menjadi batu loncatan bagi merebut jawatan Presiden UMNO.

Beliau juga menafikan wujudnya kumpulan antara beliau, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin bagi menghadapi pemilihan parti kelak.

“Saya tidak pernah sentuh dan menggunakan kedudukan dalam soal pemilihan parti. Ketika cadangan pemilihan dibangkitkan, saya bangun menyokong ketika ramai anggap ROS akan tolak.

“Jika saya gunakan kepentingan (sebagai Perdana Menteri), saya boleh minta ROS menolak penangguhan dan lawan jawatan Presiden,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini