comscore
Tumpuan :
Politik

Bajet 2023 Beri Banyak Manfaat Kepada Sektor Pendidikan – Radzi

Oleh: Ima Liana Esa

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin melahirkan rasa syukur keprihatinan kerajaan kepada sektor pendidikan negara yang masih menerima peruntukan terbesar untuk tahun hadapan.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, beliau gembira usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meningkatkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah diluluskan.

“Syukur alhamdulillah, usaha KPM untuk meningkatkan kadar RMT telah diluluskan dalam #Bajet2023. Kadar yang dulunya RM2.50 bagi Semenanjung Malaysia kini dinaikkan kepada RM3.50. Bagi Sabah, Sarawak & Labuan pula kadar dinaikkan daripada RM3.00 ke RM4.00.

“Kadar ini akan bermula bulan ini. Semoga usaha ini dapat memberi manfaat kepada 813,393 murid penerima RMT,” katanya.

Menyentuh pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pula, menurut Datuk Dr Radzi ia berita mengembirakan kerana bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5 juta murid dan melibatkan peruntukan RM825 juta berbanding RM450 juta pada tahun 2022.

“Untuk tahun 2022, penambahbaikan dibuat kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan peningkatan daripada RM100 kepada RM150. Dalam Bajet 2023, penambahbaikan terus dibuat kepada BAP.

“Sebelum ini, ibubapa yang berpendapatan RM3000 ke bawah sahaja yang layak menerima BAP untuk anak yang bersekolah. Bagi tahun 2023, semua murid akan menerima BAP tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka,” katanya.

Datuk Dr Radzi juga berkongsi matlamatnya yang mahu menyelesaikan isu bangunan daif sekolah sejak hari pertama menerajui kementerian itu.

Justeru peruntukkan RM2.3 bilion itu mampu membantu KPM menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah.

“Sewaktu mula menjejak kaki di KPM, saya bertekad agar isu bangunan daif di sekolah seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh.

“Tadi diumumkan, bagi tahun 2023, peruntukan untuk bangunan daif di sekolah ditingkatkan sebanyak RM454 juta kepada RM1.2 bilion berbanding RM746 juta tahun 2022.Kita akan terus ikhtiarkan yang terbaik,” katanya.

KPM terus menerima peruntukan terbesar daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan iaitu sebanyak RM55.6 bilion seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Peruntukkan itu juga menyaksikan peningkatan sebanyak RM3 bilion berbanding tahun ini yang jelas menunjukan keprihatinan kerajaan bahawa pendidikan adalah pelaburan terbaik bagi membina masa depan yang cerah.

Loading...
Terkini