comscore
Tumpuan :
Politik

Bakar poster calon tidak jejas kempen PRU-15

DR Mashitah Ibrahim (kiri) bersama Pemangku Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abdul Rashid di program anjuran AADK di Anjung Kuala.

KUALA KEDAH : Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyifatkan tindakan pihak tertentu membakar poster wajahnya serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tidak profesional.

Beliau berkata, sepatutnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, semua pihak perlu lebih terbuka dan membuktikan kemampuan masing-masing untuk menjadi seorang pemimpin.

“Saya harap di zaman ini kita lebih profesional dan tak ada lagi perbuatan vandalisme yang perlu koyak, buang poster calon dan sebagainya.

“Namun, ia tidak sedikit pun menjejaskan perjalanan kempen PRU-15 yang kami lakukan malah ramai yang simpati dengan apa yang berlaku.

“Kita akan meneruskan perjalanan kempen yang hanya tinggal dua hari lagi sebelum PRU-15 Sabtu ini untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan kepada BN malah kita tak takut pada parti lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar di Anjung Kuala, di sini hari ini.

Majlis turut disertai Ikon AADK Kota Setar yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abdul Rashid.

Media hari ini melaporkan, polis menerima laporan berhubung kejadian poster kempen wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, cuba dibakar semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan dibuat petugas BN pada jam 3 petang semalam yang menyedari poster di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung itu mengalami kerosakan.

Katanya, pengadu yang mengesyaki berlakunya unsur khianat terhadap poster kempen BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kemudian segera membuat laporan polis.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini