comscore
Tumpuan :
Politik

Bantu kempen parti lain, Ahli PAS boleh dipecat

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di pejabat Parlimen, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU: Tindakan tegas termasuklah dipecat sekiranya ahli PAS membantu kempen parti lain.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi peringatan itu kerana ia dianggap melanggar disiplin parti.

“Perkara ini sudah terkandung dalam perlembagaan yang menyebut seorang ahli PAS dianggap melanggar disiplin jika melakukan sebarang tindakan yang menyalahi serta merugikan parti.

“Sudah tentu jika seseorang ahli membantu berkempen untuk parti lain akan merugikan PAS dan tindakan akan diambil termasuk dipecat.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan dan ini peringatan kepada semua ,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, penyandang Parlimen Kota Bharu itu turut memaklumkan seseorang ahli PAS boleh terhenti atas tiga faktor iaitu yang pertama disebabkan permintaan sendiri.

“Manakala faktor kedua dipecat serta ketiga apabila mengisytiharkan diri keluar daripada PAS dengan menyertai politik lain.

“Menyertai politik lain tidak semestinya menjadi ahli, sebaliknya bertanding atas tiket parti lain juga dianggap keahliannya secara automatik terbatal,” katanya.

Ditanya tindakan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah yang dikatakan masih mengaku ahli PAS ketika bertemu pengundi, Takiyuddin berkata ia mampu mempromosikan PAS.

“Mungkin juga beliau tidak malu,” katanya.

Loading...
Terkini