Tumpuan :
Politik

Banyak calon muda, muka baharu akan diketengahkan BN pada PRU16 – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Konvensyen Barisan Nasional Negeri Perak 2024 di Hotel Casuarina Meru.- FOTO: NSTP

IPOH: Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan ramai calon muka baharu, terutama dalam kalangan anak muda pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu menjadi satu daripada lima langkah yang digariskan dalam memperkukuh parti-parti komponen BN bagi meraih sokongan rakyat.

“Saya berasakan kita tiada pilihan untuk mengetengahkan calon-calon muka baharu, terutamanya dalam kalangan anak muda. Dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri dan Mahkota baru-baru ini membuktikan bahawa hipotesis ini benar dan betul.

“Kesesuaian calon bukan sekadar usia muda, tetapi mereka yang berpengalaman dan berakar umbi berpotensi membawa kemenangan gemilang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Perak di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak; Bendahari Agung MIC, Tan Sri M Ramasamy merangkap Pengerusi MIC Perak dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga Pengerusi MCA Perak.

Selain itu, wakil dari Pakatan Harapan (PH) yang turut hadir termasuk Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How, yang juga Bendahari DAP Perak; serta Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Presiden UMNO berkata contoh terbaik ialah kemenangan BN di PRK Nenggiri sebelum ini, apabila berjaya merampas kawasan di negeri pembangkang dengan menampilkan calon anak muda.

Ditanya mengenai proses pemilihan calon, Ahmad Zahid berkata BN, khususnya di Perak, telah menyusun strategi untuk memastikan calon terbaik diketengahkan. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini