comscore
Tumpuan :
Politik

Belanjawan 2023 bukti kebajikan kaum India dijaga – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan di bawah pimpinannya sentiasa menjaga kebajikan, kepentingan dan keperluan semua ahli Keluarga Malaysia termasuk kaum India.

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi Bajet 2023 dengan pelbagai inisiatif khusus untuk masyarakat India dibentangkan seperti peruntukan RM100 juta bagi pembangunan usahawan kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Selain itu, sebanyak RM25 juta bagi program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi disediakan.

Malah Kabinet juga telah meluluskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi pembangunan kaum India,” katanya semasa berucap pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat India di Triang di sini malam ini.

Menyentuh secara spesifik di Bera, Ismail Sabri berkata peruntukan juga diberikan kepada permohonan seperti baik pulih kuil dan bantuan lain khusus kepada kaum India di situ.

Beliau turut memberi jaminan usaha memperkasakan komuniti itu akan digiatkan lagi, jika beliau terus mendapat kepercayaan untuk menjadi Ahli Parlimen Bera selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 15 Nov adalah hari pengundian awal. – BERNAMA

Loading...
Terkini