comscore
Tumpuan :
Politik

Belum ada calon rebut jawatan Naib Presiden UMNO

Logo UMNO

KUALA LUMPUR: Belum ada mana-mana pemimpin UMNO mengesahkan diri bertanding bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO ketika tempoh akhir pencalonan hanya berbaki kurang seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, berkata belum ada lagi tokoh yang mendaftar untuk bertanding jawatan itu, menjelang hari terakhir pencalonan, Ahad ini.

Jawatan nombor tiga UMNO ketika ini disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahadzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Shahrir berkata, setakat semalam, seramai 111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pertandingan di peringkat MKT UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Bagi Ketua Wanita UMNO sudah ada seorang calon, Ketua Pemuda UMNO seorang, manakala Ketua Puteri UMNO enam calon menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu.

“Seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita UMNO, dua calon Naib Ketua Pemuda UMNO dan tiga calon bagi Puteri. EXCO 22 calon (Wanita), 25 (Pemuda) dan 15 (Puteri) orang yang sudah mendaftar,” katanya dipetik menerusi portal UMNO Online, hari ini.

Shahrir menjangkakan, lebih ramai calon akan mendaftar, termasuk bagi bagi jawatan Naib Presiden UMNO sepanjang minggu terakhir ini.

Pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 sudah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari ini, di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli MKT UMNO, EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO negeri.

Dalam pada itu, veteran UMNO itu juga menyarankan calon yang bertanding pada Pemilihan UMNO 2023 menggunakan saluran media sosial untuk berkempen.

Beliau berkata, kaedah itu boleh diguna pakai dalam kalangan calon bagi memudahkan mereka berikutan tempoh kempen yang singkat.

“Saya hendak menegaskan kelonggaran kepada tata etika yang kita guna pakai sekarang ini bahawa kemudahan atas talian mahupun media sosial harus digunakan.

“Ini termasuk mengadakan pertemuan melalui aplikasi seperti Zoom atau WhatApp dan sebagainya. Ia boleh diguna pakai untuk menggantikan pertemuan secara bersemuka kerana kita tahu tempoh pemilihan iaitu dari 1 Februari sampai ke tarikh pemilihan 18 Mac adalah pendek,” katanya.

Loading...
Terkini