comscore
Tumpuan :
Politik

Belum ada lagi kenyataan dari PH setakat petang ini

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan pertemuan dengan gabungan lain bagi membentuk Kerajaan Persekutan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Biarpun meraih jumlah kerusi Parlimen tertinggi, iaitu 82 daripada keseluruhan 219 yang dipertanding, PH masih perlu ‘memikat’ Ahli Parlimen atau gabungan lain, bagi melengkapkan sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membolehkan kerajaan baharu dapat dibentuk.

Setakat petang ini, tiada perbincangan membabitkan pimpinan tertinggi PH bersama gabungan lain seperti Perikatan Nasional (PN) yang meraih 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi.

Pemimpin tertinggi PH juga tidak kelihatan di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya.

Pengerusi PH juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi PH lain belum mengeluarkan kenyataan rasmi, berhubung penggabungan itu.

Semalam, Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun, berkata PH mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau berkata, PH sudah mencapai persetujuan dengan beberapa pihak bagi tujuan berkenaan, selain menjelaskan pakatan itu mempunyai majoriti melebihi 112 kerusi Parlimen.

Sementara itu, pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediaman beliau di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga pemimpin terbabit mengambil langkah awal ke arah pembentukan Kerajaan Persekutuan, berikutan keputusan PRU15 menyaksikan tiada gabungan parti memiliki kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Loading...
Terkini