comscore
Tumpuan :
Politik

Beri GPS suara lebih kuat pertahan MA63

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – Foto: NSTP

LAWAS: Suara lebih kuat harus diberikan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membolehkannya terus mempertahankan hak Sarawak di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata mandat kuat itu perlu bagi menyelesaikan isu berbangkit mengenai Sarawak termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah dimulakan oleh menteri-menteri daripada GPS di peringkat Persekutuan.

“Kita lihat sebelum ini Perlembagaan Persekutuan juga sudah dipinda agar selari dengan MA63, itu semua adalah usaha dan desakan kerajaan GPS.

“Kami percaya rakyat Sarawak juga berhak menerima peruntukan lebih banyak untuk melengkapkan lagi kemudahan infrastruktur kita seperti jalan raya, jambatan dan sistem komunikasi,” katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah bangunan rumah ibadat dan taman rekreasi Persatuan Qing Sui Yuan Lawas, semalam.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu, Awang Tengah berharap agar pengundi di kawasan Lawas tidak terpengaruh dengan isu atau sentimen agama yang dibawa pihak tertentu semasa berkempen.

Pertandingan merebut kerusi Parlimen Lawas pada PRU-15 menyaksikan pertandingan antara calon GPS, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pakatan Harapan (PH).

Calon GPS yang juga penyandang kerusi itu Datuk Henry Sum Agong dicabar Baru Bian daripada PSB dan Japar Suyut daripada PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

Loading...
Terkini