comscore
Tumpuan :
Politik

‘Berilah saya peluang’ – KJ

Calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaludin beramah mesra bersama penduduk sekitar

KOTA DAMANSARA: Khairy Jamaluddin merayu agar pengundi di Parlimen Sungai Buloh memilih calon yang berkaliber dan mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Rayuan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh itu menyusuli beberapa pendedahan orang ramai yang mendakwa keliru, sama ada perlu memilih calon atau hanya tertumpu kepada parti tertentu semata-mata.

“Pengundi sekalian, anda perlu memilih calon yang boleh berbakti kepada anda.

“Jika anda mahukan wakil rakyat yang boleh memberikan khidmat terbaik, sama ada sebagai menteri atau Ahli Parlimen, sayalah individu terbabit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Klinik Saya di sini, hari ini.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di situ membabitkan Khairy Jamaluddin daripada BN, manakala R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

Parlimen Sungai Buloh disandang R Sivarasa daripada PH dengan majoriti 26,634 undi.

Ditanya suasana bertanding di Sungai Buloh, Khairy mengakui, ia menampilkan cabaran tersendiri, merangkumi demografi penduduk yang berbeza berbanding kawasan disandang beliau di Rembau, Negeri Sembilan.

“Tidak mudah untuk saya bertanding di Sungai Buloh kerana populasi di sini berbeza, selain mempunyai kawasan perumahan ‘gated area’, pangsapuri dan ramai yang keluar bekerja di waktu siang.

“Ini antara faktor menyulitkan saya untuk menyantuni pengundi dari rumah ke rumah. Justeru, saya ambil banyak pendekatan berkempen menerusi platform media sosial untuk mendekati mereka.

“Namun, ia bukanlah penghalang untuk saya. Saya harap berpeluang mewakili rakyat Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairy yang juga Menteri Kesihatan menang dalam persaingan tiga penjuru di Parlimen Rembau, mengalahkan PAS dan Pakatan Harapan selepas meraih 36,096 undi dengan 4,364 majoriti undi.

Loading...
Terkini