comscore
Tumpuan :
Politik

BERSATU akan hantar surat kepada Speaker secepat mungkin berkenaan status 7 wakil rakyat

Tujuh wakil rakyat BERSATU – (dari kiri) Zahari, Iskandar Dzulkarnain, Zulkafperi, Mohd Azizi, Suhaili, Abdul Rashid dan Syed Abu Hussin Hafiz.

KUALA LUMPUR: BERSATU akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan juga Kelantan secepat mungkin mengenai status tujuh wakil rakyatnya yang digugurkan keahlian dalam parti.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum itu pihaknya akan menghantar notis kepada tujuh wakil rakyat terbabit dalam tempoh sehari dua lagi untuk memaklumkan mengenai pengguguran keahlian masing-masing.

Beliau bagaimanapun menegaskan tindakan yang diambil itu bukanlah bersifat terburu-buru kerana parti hanya berbuat demikian selepas mendapatkan nasihat undang-undang, selain mengikuti prosedur diperlukan.

“BERSATU akan ambil tindakan susulan terhadap enam Ahli Parlimen dan ADUN terbabit. Surat untuk beritahu mereka bahawa keahlian mereka telah gugur (akan dihantar) dalam satu atau dua hari.

“Selepas itu, kita akan maklumkan kepada Speaker Parlimen mengenai enam Ahli Parlimen, selain Speaker DUN Selangor bagi kerusi Selat Klang dan Speaker DUN Kelantan bagi kerusi Nenggiri.

“Keputusan ini dibuat berikutan pindaan perlembagaan BERSATU yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Semua langkah yang perlu diambil berdasarkan nasihat peguam,” katanya selepas mesyuarat majlis pimpinan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neggiri di Kelantan.

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sementara itu, Muhyiddin ketika ditanya sama ada surat kepada Speaker Dewan Rakyat serta DUN Selangor dan Kelantan akan dihantar minggu ini, menjawab “secepat mungkin”.

Beliau berkata pihaknya perlu melalui proses diperlukan terlebih dahulu dan mereka tidak tergesa-gesa untuk menggugurkan keahlian semua wakil rakyat terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini