comscore
Tumpuan :
Politik

“BN Akan Lancar Manifesto Selepas Penamaan Calon” – Rauf

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas proses penamaan calon, 8 November ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto berkenaan merupakan tawaran baharu kepada rakyat di negeri berkenaan sekiranya parti itu diberikan mandat pada 20 November ini.

“Kami akan memberi tawaran baharu dalam manifesto kami kepada rakyat Melaka faedah daripada kerajaan yang stabil, makmur dan ada kredibiliti,” katanya dalam sidang media di Alor Gajah hari ini.

Bagaimanapun, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka tidak memperincikan manifesto yang akan diumumkan kelak.

Beliau turut memberi jaminan bahawa BN akan mengetengahkan lebih banyak muka baharu dari kalangan tokoh muda sebagai calon pada PRN berkenaan.

 “Soal calon, kita tunggu hari penamaan calon tetapi saya jamin kali ini kebanyakannya adalah muka baharu dan tokoh muda yang akan kita ketengahkan,” katanya dan menambah jentera parti kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas). – BERNAMA

Loading...
Terkini