Tumpuan :
Politik

BN bekerja keras pastikan lima kerusi Parlimen yang diperjuangkan Ahmad Zahid berbaloi

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan perlu bekerja keras bagi memastikan lima kerusi Parlimen yang bakal diperjuangkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid untuk mewakili kerajaan Perpaduan dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang, memperoleh kemenangan.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sasaran BN negeri bukan hanya untuk mewakili, tetapi juga memenangi kesemua kerusi yang diwakili.

“Orang yang kuat hari ini tak semestinya kuat sampai bila-bila, dalam politik ini semua boleh jadi, cuma apa yang kita perlu tekankan, semua kena kerja keras untuk pastikan sekiranya apa yang diucapkan Datuk Seri Zahid, dia akan perjuangkan lima kerusi, kelima-lima ini kita perlu pastikan menang.

“Saya tidak mahu apa yang berlaku di PRN yang lepas di Selangor, ada 56 kerusi, BN cuma ada lima, bila tiba PRN kita nak menang banyak, saya terlibat dalam rundingan ini, kita perjuangkan tambahan tujuh, semuanya 12, keputusannya yang tujuh ke laut, yang lima pun ke laut.

“Kita nak (kerusi) banyak tapi kalah banyak, nak buat apa, yang paling penting kita dapat mana-mana kerusi di Wilayah Persekutuan ini, kita pastikan semua jentera BN tak kira dari mana, kita sama-sama pastikan kerusi tu dia boleh dapatkan kembali,” ujarnya ketika ucapan penggulungan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Terdahulu dalam perasmian konvensyen tersebut, Ahmad Zahid berkata, lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada PRU akan datang untuk mewakili Kerajaan Perpaduan akan dibincangkan dengan rakan dalam kerajaan dalam usaha mengembalikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan putih bagi parti itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini