Tumpuan :
Politik

BN berjasa besar kepada ekonomi negara, tapi jangan khayal – Johari

Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Tun Hussein Onn PWTC. FOTO NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu memastikan kelangsungan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 agar dapat terus memainkan peranan dalam meningkatkan ekonomi negara.

Jasa BN tidak dapat dinafikan dan parti itu tidak dapat ditolak keluar kerana menjadi asas ekonomi yang kukuh kepada negara.

Bagaimanapun untuk memastikan rakyat terus menerima BN, Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata antara perkara yang perlu diubah adalah sikap khayal dan delusi.

“Sebab kita dah berjasa lama dan bangunkan negara, kita ada pemikiran pasal jasa kita ini orang akan bagi sokongan, saya sentiasa ingatkan rakan-rakan, audiens kita dah berbeza, mereka mungkin tak faham perjuangan yang lepas,” katanya ketika ucapan aluan Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Johari, ada juga ahli yang terlupa tujuan asal perjuangan BN, sehingga melihat kepada pulangan terhadap apa yang ditawarkan terlebih dahulu.

Ujarnya, tidak kurang juga segelintir ahli yang enggan melakukan pembaharuan, menyebabkan maklumat sukar untuk disalurkan kepada pengundi-pengundi yang akhirnya mengakibatkan peluang untuk ‘membaiki’ BN terjejas.

“Kita tak boleh terima teguran, tak boleh terima perbezaan pendapat, tak boleh mengaku kelemahan dan kesalahan, tak boleh bertolak ansur dengan rakan-rakan.

“Jadikan pedoman, lihat balik bagaimana perjuangan sebelum ini, ambil sebagai satu panduan apabila bekerjasama sebagai satu parti,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini