comscore
Tumpuan :
Politik

BN elok jadi pembangkang – Shahril

Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) wajar menjadi pembangkang di Parlimen kerana jika bergabung sebagai kerajaan, menyebabkan gabungan itu dijadikan ‘bahan’ untuk lima tahun akan datang.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata jika BN yang kalah pilihan raya dengan hanya memperoleh 30 kerusi menjadi sebahagian kerajaan, rasionalnya sukar untuk diterima rakyat kerana parti yang mendapat lebih 70 atau 80 kerusi, sebaliknya yang menjadi pembangkang.

Shahril berkata, ini akan hanya membawa asbab dan motivasi untuk memastikan BN dibenam lebih dalam pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Lain ceritanya kalau kita ada pakatan prapilihan raya. Tapi tidak. Tiada ‘moral standing’ untuk kita terbabit dalam kerajaan.

“Kali ini, tiada pandemik atau perpecahan dalaman pihak yang menang pilihan raya, yang menuntut kita menjadi ‘penyelamat’ apa-apa keadaan. Tiada hujah atau justifikasi ala Mac 2020,” kata dalam media sosial, hari ini.

Shahril yang meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, hari ini berkata, BN sebaliknya perlu bertumpu kepada agenda pembaharuan dan muhasabah supaya dapat bangkit daripada kekalahan besar, bukan terganggu dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan dan perlu menjustifikasi pembabitannya selama lima tahun.

Katanya, BN sudah lama ‘berperang’ dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), terbukti berdepan situasi dalaman yang tidak stabil ketika berada dalam kerajaan campuran bersama PN, sebelum PRU15.

“Untuk sekarang, terus bersama dengan mana-mana pihak amat janggal. Mungkin untuk mereka kurang janggal kerana kalau kita terbabit, mereka akan jadi peneraju dan kita sekadar pelengkap.

“Tapi kita buat cara kita. Kita kena ada ‘kelas’. Kita kalah, mereka menang. Kita beri tumpuan kepada pembinaan semula parti ini,” katanya, yang tewas PRU15 di kerusi Parlimen Alor Gajah.

Shahril berkata, jika wujud kemaslahatan lebih besar, yang menuntut BN membantu mana-mana parti untuk mencukupkan majoriti 112 kerusi Parlimen, bagi membolehkan seorang Perdana Menteri dilantik secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan, ia mesti dilakukan dengan prinsip yang jelas.

Ini termasuk, BN menjadi pembangkang dan bukan kerajaan, selain hanya membantu secara ‘teknikal’ supaya lantikan Perdana Menteri dapat dilaksanakan.

“Kita hanya bantu meluluskan rang undang-undang (RUU) kewangan, terutama Belanjawan dengan syarat yang munasabah seperti pandangan kita diambil kira, supaya kerajaan tidak ada risiko runtuh setiap tahun.

“Bagaimanapun, kita bebas mengkritik dan memainkan peranan sebagai pembangkang. Kalau atas apa-apa sebab kita tidak setuju dengan Belanjawan, boleh saja berkecuali dan Belanjawan tetap lulus tanpa sokongan aktif BN,” katanya.

Bagi RUU lain, katanya, BN dan Ahli Parlimennya bebas menyokong atau membangkang mengikut kesesuaian dan keputusan parti.

“Kekalahan kerajaan meluluskan sesuatu RUU selain Belanjawan, tidak semestinya meruntuhkan kerajaan. Perkara ini sudah lazim berlaku dalam sistem demokrasi lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini