comscore
Tumpuan :
Politik

BN gagal pertahan 2 kerusi DUN Parlimen Tasek Gelugor

Foto: NSTP

TASEK GELUGOR: Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan dua wakilnya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua dan Permatang Berangan pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang kecundang apabila kedua-duanya tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Dr Ir Shaikh Hussein Mydin yang bertanding bagi kerusi DUN Sungai Dua ditewaskan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Mohd Yusof.

Muhammad Fauzi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,509 undi selepas memperoleh 13,988 undi berbanding Shaikh Hussein yang mendapat 8,479 undi.

Penyandang kerusi DUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman yang menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu turut gagal mengekalkan penguasaan apabila kerusi itu dirampas Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh yang menang dengan majoriti 8,949 undi.

Dalam persaingan itu, Mohd Sabri meraih 15,950 undi manakala penyandangnya pula Nor Hafizah mendapat 7,001 undi.

Bagi kerusi DUN Telok Ayer Tawar turut menjadi milik PN apabila calonnya Azmi Alang menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Mohsin Md Sharif.

Azmi yang juga Ketua BERSATU Tasek Gelugor menang dengan mendapat 10,223 undi manakala pencabarnya meraih 8,276 undi.

Pada PRU ke-15 lalu, BN negeri itu gagal mempertahankan kubu kuat mereka di Kepala Batas dan Tasek Gelugor apabila kerusi parlimen masing-masing dirampas oleh calon PN dari PAS dan BERSATU.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam dengan majoriti 2,321 undi.

Namun begitu, menjadi satu kelegaan buat BN apabila berjaya merampas semula DUN Bertam dengan kemenangan calonnya yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam pada itu, BN turut menang DUN Sungai Acheh apabila calonnya, Rashidi Zinol menang dengan mendapat 9,556 undi menewaskan Zulkifli Ibrahim yang pada PRU ke-15 menyandang kerusi berkenaan atas tiket Pakatan Harapan (PH) sebelum keluar parti dan menyertai PN.

Loading...
Terkini