comscore
Tumpuan :
Politik

BN janji beri kerakyatan anak wanita Malaysia lahir di luar negara

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berjanji akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak kepada wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara, diberi kerakyatan negara ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata janji itu adalah antara manifesto BN, yang akan dilaksanakan jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Jelasnya, janji itu dibuat kerana BN enggan lagi melihat anak yang dilahirkan hasil perkahwinan campur di luar negara, dinafikan hak untuk menjadi warganegara hanya kerana memiliki bapa warga asing.

“Atas nama keterangkuman, kita tidak lagi mahu anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama, dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanah air tercinta.

“Saya tegaskan bahawa BN bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia, yang berkahwin dengan warganegara asing.

“Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir daripada kerencaman dan keterangkuman,” katanya dalam pengumuman manifesto BN, yang disiarkan secara langsung di Facebook BN COMMS, hari ini.

Loading...
Terkini