comscore
Tumpuan :
Politik

BN Kelantan ingatkan calon fokus kempen bersasar

Pengerusi Badan Perhubungan BN, Datuk Ahmad Jazlan Yakub. -Foto: NSTP

MACHANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan mengingatkan calon mereka supaya memfokuskan kempen bersasar termasuk menyantuni pengundi yang membabitkan keluarga besar menjelang tempoh berkempen berbaki empat hari lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan BN, Datuk Ahmad Jazlan Yakub, turut mengingatkan setiap calon membuat semakan apa yang belum diselesaikan sebelum menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Saya sentiasa tekankan jangan fokus ceramah kerana bagi saya ia kurang berkesan untuk menarik pengundi memandangkan mereka yang hadir kebanyakannya adalah penyokong kita.

“Sebab itu, saya galakkan mereka berkempen secara bersasar iaitu membuat senarai pengundi di Parlimen masing-masing selain melawat pengundi yang mempunyai keluarga besar.

“Pendekatan itu bagi saya lebih memberi kesan berbanding mengadakan ceramah atau lawatan dalam bentuk berskala besar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang, mengharapkan calon memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin dan menyantuni pengundi seramai mana yang termampu.

“Semua jentera perlu berganding bahu, giatkan kempen serta merayu supaya mereka undi kita. Beri penjelasan mengapa mereka perlu sokong BN.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan gerak kerja jentera dan calon. Kita hanya berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah.

“Bagaimanapun, saya tidak berhenti untuk merayu pengundi di Kelantan supaya memilih calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini