comscore
Tumpuan :
Politik

BN miliki rekod prestasi baik perintah negara

FOTO: NSTP

IPOH: Pengundi di Perak digesa membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi memastikan kerajaan baharu adalah kuat dan stabil.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak, berkata pengundi perlu memilih gabungan parti seperti BN kerana mempunyai ‘rekod prestasi’ yang cukup baik selama memerintah negara ini.

“Selain kerusi UMNO, BN mempunyai parti MCA dan MIC yang akan mewakili rakyat kaum Cina dan India dalam kerajaan negeri,” katanya dalam temu bual bersama media menjelang PRU15 di Laman Seri Ridzuan di sini malam tadi.

Penyandang kerusi DUN Kota Tampan itu berkata pihaknya berhasrat merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada Jun lalu yang menggariskan pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa.

Menurutnya pelan pembangunan itu yang sebahagiannya sudah mula dilaksanakan termasuk bagi pemulihan ekonomi selepas negara dilanda COVID-19 bukan janji kosong, dan hanya boleh direalisasikan dengan adanya kerajaan yang stabil.

BN dalam pada itu ujarnya mempunyai strategi tersendiri di Parlimen Tambun yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara penyandang kerusi itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tambun kawasan besar dan mungkin BN perlu bantuan rakan lain untuk bantu, jadi kita akan sediakan pasukan sokongan itu dan saya percaya kebijaksanaan pengundi-pengundi untuk membuat pilihan. Kita juga akan mendekati golongan pengundi baharu yang akan mengundi pertama kali dengan baik,” katanya.

Mengenai DAP yang meletakkan calon di DUN Changkat Jong dan Parlimen Gerik yang majoritinya pengundi Melayu, Saarani berkata ia bukan perkara baharu malah pernah dilakukan sebelum ini.

Loading...
Terkini