comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] BN Pahang lancar manifesto ‘Ikhtiar Makmur’

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dinamakan ‘Ikhtiar Makmur’ dengan enam penekanan utama bagi memastikan rakyat dan negeri ini terus menikmati kestabilan serta kemakmuran.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penekanan ikhtiar pertama ialah memfokus kesejahteraan rakyat dengan memperbanyakkan pemberian rumah percuma melalui Skim Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang dan Rumah Mesra Rakyat.

“Kedua, memperkasakan institusi agama, iaitu kerajaan BN komited untuk terus menjamin kemakmuran antara kaum dan agama seperti yang dinikmati sekarang. Kerajaan BN juga akan terus berikhtiar untuk memantapkan fungsi dan peranan institusi agama di Pahang. “Ketiga, kerajaan BN akan memperkasakan anak muda makmur, iaitu pengupayaan bakat masa depan anak muda dalam segala bidang termasuk profesional, akademik, sukan, kebudayaan dan perniagaan,” katanya dalam ucapan melancarkan manifesto BN Pahang secara dalam talian melalui media sosial, malam tadi.

“Sepanjang empat tahun kebelakangan ini, prestasi Kerajaan Pahang dengan kerjasama penjawat awam negeri menunjukkan prestasi cemerlang.”Pahang buat kali pertama berjaya memperoleh kutipan hasil melebihi RM1 bilion, kadar hutang berkurang sebanyak 60 peratus dan peningkatan pelaburan yang memberangsangkan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, penekanan ikhtiar seterusnya membabitkan aspek ekonomi, iaitu memastikan kerajaan negeri terus meningkatkan hasil pendapatan tanpa membebankan rakyat.

Beliau memaklumkan, ini kerana kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa sumber baharu yang boleh meningkatkan hasil pendapatan negeri.

“Selain itu, pelancongan yang merupakan antara industri utama Pahang akan terus dirancakkan bagi memastikan Pahang menjadi destinasi utama pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Ikhtiar keenam ialah kelestarian bekalan air dengan memfokus sekurang-kurang 90 peratus masalah bekalan air di Pahang dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

“Bagi menyelesaikan masalah bekalan air ini, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan menerusi 217 projek yang telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di seluruh negeri ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini