comscore
Tumpuan :
Politik

BN Selangor Tak Tergugat Strategi PH

Tan Sri Noh Omar ketika melakukan lawatan ke Hospital Baru Tanjong Karang, hari ini. – Foto: NSTP

TANJONG KARANG: Barisan Nasional (BN) Selangor tidak tergugat dengan langkah Pakatan Harapan (PH) mengumumkan nama calon berprofil tinggi dan kemasukan tokoh pelbagai latar belakang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar yakin soal kemenangan siapa calon yang dipertaruhkan parti lawan, terpulang kepada strategi masing-masing.

“Kita akan menampilkan calon muda yang ada ciri ‘WALI’ iaitu boleh menang, (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber serta berdaya.

“Kita juga tidak ketandusan calon, malah akan mengetengahkan calon boleh menang di setiap kerusi Parlimen di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Hospital Baru Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, adalah mustahak calon yang diketengahkan BN khususnya UMNO mesti dalam kalangan anak tempatan.

“BN memilih calon boleh menang kerana saya masih ingat pada PRU sebelum ini, parti lawan meletakkan pensyarah bertanding di Sabak Bernam pernah tewas juga dengan calon BN.

“Ada juga berkerjaya seperti doktor dan peguam pernah kalah kerana bagi BN kita mengetengahkan calon yang boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Jika profesional sekali pun, jika masalah rakyat tak faham, macam mana hendak berkhidmat. Bagi saya wakil rakyat kena tahu kawasan terutama bagi calon luar,” katanya.

Sementara itu, mengulas tarikh pengumuman calon BN, Noh berkata, perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam minggu ini.

Katanya, senarai calon di setiap Parlimen di Selangor sudah dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi parti, namun masih menunggu keputusan muktamad. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini