comscore
Tumpuan :
Politik

BN tawar 15 aku janji untuk pengundi Tangga Batu

OLEH: Baharuddin Mohamed

KLEBANG: Masalah pelupusan sampah, kesesakan jalan raya, nelayan dan pembinaan terminal perniagaan sehenti adalah antara isu yang bakal diberi fokus utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15, (PRU15).

Kesemua isu berkenaan terkandung dalam 15 Aku Janji Manifesto BN Parlimen Tangga Batu yang dilancarkan Naib Presiden MCA itu di bilik gerakan parti berkenaan di sini, hari ini.

Beliau yakin kesemua isu yang membelenggu penduduk Tangga Batu selama ini akan dapat diselesaikan secara berperingkat menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, P-B-T, kerajaan negeri dan Pusat.

“Kalau diberi mandat sebagai Ahli Parlimen, saya akan menjadi wakil untuk membawa suara dan pandangan penduduk Tangga Batu bagi mempercepatkan projek-projek yang boleh memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, pihaknya akan berusaha mempercepatkan pembinaan insinerator ekoran rungutan lebih 7,000 penduduk terhadap pencemaran bau yang berpunca daripada tapak pelupusan sampah di Sungai Udang ketika ini.

Projek pembinaan fasiliti itu jelasnya memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

Sebagai sebuah kawasan tumpuan pelancong, pihaknya turut bercadang untuk membina sebuah terminal perniagaan di Pantai Klebang yang akan memnafaatkan lebih 200 peniaga yang beroperasi di sepanjang pantai peranginan itu.

“Bagi memastikan Pantai Klebang terus dikunjungi pelancong saya merancang pembinaan jejantas bertingkat bertujuan menangani masalah kesesakan terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan,” katanya.

Menerusi aku janji itu juga, pihaknya memberi jaminan akan menaik taraf jeti nelayan dan membina lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik di Parlimen berkenaan.-BULETIN TV3

Loading...
Terkini