comscore
Tumpuan :
Politik

Bukan masa sesuai terima mana-mana parti – Khaled

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berpendirian bukan masa sesuai untuk Barisan Nasional (BN) menerima mana-mana parti, termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Selagi kita tak buat keputusan, maka dia dekat luarlah (gabungan BN). Ada kita buat keputusan? tak ada, jadi dia dekat luarlah.
“Kita tidak katakan begitu (tidak menerima PBM), tetapi kita ada masa-masanya dan sekarang bukanlah masanya sesuai untuk terima mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran penubuhan cawangan UMNO baharu iaitu cawangan UMNO D’rimba Seri Alam di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, parti juga tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.

“BN juga tidak mahu menjadi seperti Gerakan Tanah Air (GTA) yang terbuka untuk membentuk gabungan.

“Kalau kita lihat GTA ini macam peminta sedekah, jadi saya ingat tak mengapalah kita bersaing dan tengok sokongan rakyat pada setiap parti.

“Selepas itu kita boleh buat keputusan, apa-apa pun lepas PRU-15. Sekarang ini kita hanya perlu tumpu kepada parti masing masing,” katanya.

Khamis lalu, pengasas PBM, Larry Sng Wei Shien dilaporkan berkata parti itu akan bertanding pada PRU-15 menggunakan lambangnya sendiri kerana BN tidak menerima penyertaannya dalam gabungan berkenaan.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, BN tidak menolak PBM sebagai komponen parti itu.

Katanya, setakat ini BN masih mempertimbangkan permohonan parti berkenaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini