comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Bukan mimpi di siang hari – Muhyiddin

Calon PN Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri sesi ramah mesra bersama penduduk di Parit Raja, Batu Pahat hari ini.

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

TANGKAK: Keputusan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah seperti mimpi di siang hari.

Pengerusi PN itu menjelaskan, pemilihannya dibuat oleh pimpinan gabungan itu berdasarkan rekod pentadbirannya yang cemerlang sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Tak ada mimpi siang, mimpi malam, tetapi kita realistik, bukannya omong kosong, ia ada asas dan ini keputusan yang dibuat oleh pimpinan PN untuk menamakan siapa bakal Perdana Menteri.

“Ini nak bentuk kerajaan, rakyat nak tahu, kalau bakal Perdana Menteri terdiri daripada kluster mahkamah atau bekas banduan, adakah rakyat nak pilih? Atau pun rakyat fikir abah bagus,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama penduduk di Parit Raja, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa langkah PN untuk menamakan semula beliau sebagai bakal Perdana Menteri seperti mimpi di siang hari.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin selama 17 bulan sebagai gagal.

“Ini bukan soal mimpi siang hari, ini siang waktu pilihan raya rakyat nak tahu jelas, telus, jangan menyorok di belakang.

“Dia kata nak jadi kerajaan, tetapi lepas itu nak sekongkol dengan pihak lain, nak menamakan orang lain jadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh mengingatkan semua pihak supaya tidak merendahkan keupayaan PN dalam menguruskan hal berkaitan pemulihan ekonomi.

“Ini saya nak sebutkan, tak boleh hanya bagi kredit kepada Perdana Menteri baru ini sahaja. Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berlaku selepas pelbagai langkah kita ambil pada zaman susah dan kita buka semula ekonomi dalam tempoh sesuai supaya ekonomi kita pulih,

“Jadi jangan kata kredit mesti diberikan kepada BN, sebab ketika itu sebahagian besar menteri adalah daripada PN dan mereka juga menyumbang. Itu satu petanda bahawa kita mampu dan berupaya untuk menguruskan ekonomi negara kita,” katanya.

Loading...
Terkini