comscore
Tumpuan :
Politik

‘Cabaran tetap menanti’ – Nurul Izzah  

Kuala Lumpur: “Saya sayang awak, papa. Saya sentiasa berbangga dengan kamu walaupun (kamu) terbaring dipenjarakan sebagai tahanan,” luah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah berkongsi luahannya menerusi kapsyen pada gambar dimuat naik di Instagram (IG), hari ini.

“Dalam hidup di dunia, kita tidak mampu terlepas daripada dugaan.

“Ketika kalah kita diduga, Ketika menang juga kita diduga. Yang pasti, sejak 1998 sehingga saat ini adalah kewajipan untuk kita berpegang terus kepada garis batas perjuangan, menuntut keadilan bukan untuk diri kita tetapi sebagai pemangkin kepada perlindungan untuk semua.

“Cabaran tetap menanti dan selepas upacara angkat sumpah, usaha menyatu padukan teman senegara, meneliti masalah ekonomi yang membelenggu, menarik pelaburan menerusi ransangan ekonomi dan bakat tempatan dan membina ummah serta bangsa yang berteraskan keadilan sosial dan kenegaraan yang jitu,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata legasi ditinggalkan untuk anak-anak dan generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit, tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli.

“Jadikan masa depan, masa kita bersama. Khayr, Insya-Allah,” tulisnya.

Hantaran dimuat naik Nurul Izzah itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengikutnya dengan rata-rata turut mengucapkan tahniah atas pelantikan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadual berlangsung 5 petang ini di Istana Negara.

Loading...
Terkini