comscore
Tumpuan :
Politik

Cakap Kosong, Tabur Janji Palsu Dengan Alasan Debat Bukan Cara Saya – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bercakap kosong dan menabur janji palsu dengan menggunakan alasan ‘debat’ sepertimana dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukanlah cara beliau.

Ismail Sabri berkata adalah lebih baik beliau menumpukan kerja dan khidmat bakti kepada rakyat dan lebih prihatin kepada persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dari segi keselamatan rakyat berbanding terlibat dalam debat.

“Adalah lebih baik saya menyantuni dan bertemu sendiri rakyat dari pelbagai kaum serta lapisan masyarakat sebagai sebuah keluarga,” kata perdana menteri menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau diajukan soalan mengenai cadangan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan debat calon Perdana Menteri dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas sempena PRU-15 dan Monsun Timur Laut 2022, di Bukit Aman di sini hari ini.

“Cukup-cukuplah meraih populariti dengan berbekalkan janji manis dalam pengucapan debat. Beliau (Anwar) perlu mempunyai rasa belas ihsan pada nelayan, petani, walhal anak muda yang telah tertipu dengan pelbagai retorik debat yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Perdana menteri turut menyarankan Anwar untuk berdebat ketika waktu sidang parlimen diadakan selepas PRU-15.

“Saya sarankan beliau berdebatlah ketika waktu sidang parlimen diadakan selepas kerajaan baharu yang dipilih rakyat nanti. Atau mungkin di pentas parti masing-masing, dan di situ, tiada siapa pun yang menghalang kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi,” katanya.

Terdahulu ketika diajukan soalan mengenai cadangan Anwar supaya calon Perdana Menteri berdebat secara terbuka sempena PRU15, Ismail Sabri berkata ia bukan budaya di negara ini.

Anwar sebelum ini dilaporkan mencadangkan tiga calon Perdana Menteri daripada PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan debat terbuka sempena PRU-15 dan perbahasan tersebut perlu menumpukan kepada soal dasar serta perancangan dan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

Loading...
Terkini