comscore
Tumpuan :
Politik

Calon BN isytihar harta selepas dilantik dalam kerajaan

Khairy Jamaluddin di Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya pagi tadi.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan mengisytiharkan harta mereka setelah dipilih atau dilantik dalam kerajaan selaras pendirian parti.

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan calon PKR mengisytihar harta adalah pilihan mereka.

“PKR nak buat tak apalah, tapi rakan PKR (DAP) pun tak ikut sama jugak. Jadi masing-masing ada pendirian. Pendirian kami (BN) adalah untuk buat (isytihar harta) setelah dilantik pada jawatan kerajaan,” katanya ketika ditanya adakah langkah PKR dalam pengisytiharan harta wajar diikuti semua parti.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan menegaskan, pengisytiharan harta adalah perkara penting dan beliau sendiri tidak mempunyai sebarang kekangan untuk berbuat demikian.

“Ini memang amalan kita sejak dulu lagi dan saya telah isytiharkan harta saya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disenaraikan bukti-bukti dan julat nilai harta mengikut yang diisytihar,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, setiap calon PRU-15 parti berkenaan perlu membuat pengisytiharaan harta bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu tidak menetapkan dasar serupa dan hanya akan berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.-BULETIN TV3

Loading...
Terkini