comscore
Tumpuan :
Politik

Calon muka baharu BN di Kedah yakin mampu berkhidmat kepada pengundi

Calon BN Parlimen Pokok Sena, Noran Zamini Jamaludin menyantuni pengundi dalam siri kempen sekitar Pekan Langgar

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Menjadi muka baharu dalam pertembungan merebut kerusi Parlimen bukan suatu perjalanan yang mudah.

Apatah lagi, jika pertembungan itu adalah dengan calon parti lawan yang dikenali atau berjawatan tinggi dalam parti.

Namun begitu, tawaran dari calon muka baharu ini adalah kerja lapangan dibuat mereka meskipun tidak mempunyai jawatan sebagai wakil rakyat selama ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pokok Sena, Noran Zamini Jamaludin berdepan penyandang kerusi itu, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahya (Perikatan Nasional -PN) selain seorang lagi calon muka baharu dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Noraini Md Salleh.

Lebih 30 tahun aktif dalam politik, Noran yakin khidmat beliau kepada penduduk di kawasan Pokok Sena akan terbias menerusi undi yang dizahirkan kepadanya.

“Bagi rakyat Pokok Sena yang mengikuti pergerakan saya, mereka tahu khidmat saya secara berterusan. Dengan sumbangan khidmat yang telah diberi, meskipun daya dilihat “underdog” saya yakin memberi saingan dan melakar kemenangan.”

“Saya tidak akan menjanjikan bulan dan bintang, dan akan menjadi realisitik dalam menunaikan keperluan penduduk di sini.

“Buat masa ini tumpuan saya lihat kepada isu yang menyentuh soal periuk nasi mereka,” katanya.

Calon BN Parlimen Kubang Pasu, BN Datuk Hasmuni Hassan

Di kerusi Parlimen Kubang Pasu, calon muka baharu dari BN Datuk Hasmuni Hassan tekad untuk memastikan kawasan parlimen itu ditambah nilai sesuai dengan statusnya sebagai hub ekosistem pendidikan di negeri Kedah.

Berpengalaman lebih 20 tahun berkhidmat di kawasan Kubang Pasu, Datuk Hasmuni percaya beliau mampu mendalami kehendak dan keperluan masyarakat setempat.

Kesinambungan pembangunan kawasan itu katanya hanya dapat dilakukan oleh BN, mengambil tanda aras pembangunan pelbagai Insitusi Pengajian Tinggi di situ.

“Saya akan integrasikan sekolah dan pusat pengajian yang ada untuk meningkatkan keupayaan pelajar di sini. Kita juga ada perancangan pembangunan kompleks sukan dibina.”

“Insyallah ekonomi rakyat akan turut diberi tumpuan dengan memanfaatkan Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana. pembangunan projek-projek berimpak tinggi di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao perlu memberi keuntungan kepada penduduk di parlimen ini, katanya.

Datuk Hasmuni bakal berhadapan tentangan dari Bekas Timbalan Menteri Kewangan, yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Amiruddin Hamzah (PEJUANG), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN) dan Aizuddin Ariffin dari (PH).

Loading...
Terkini