comscore
Tumpuan :
Politik

Calon Padang Serai, Tioman perlu hadir ke PPC esok

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Calon yang telah sah dinamakan sebelum ini bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Negeri Tioman, Pahang perlu hadir ke pusat penamaan calon (PPC) esok sempena hari penamaan calon.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka dikehendaki hadir antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi bagi cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

“Bakal calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya ini boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai. Manakala bagi Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang.

“Kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SPR menunda urusan PRU bagi kedua-dua kerusi berkenaan dan menetapkan esok bagi tarikh hari penamaan calon dan 7 Disember sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal pada 3 Disember depan.

Ia berikutan kematian calon bagi kedua-dua kerusi tersebut iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dan calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli bagi kerusi Dewan Negeri Tioman.

Pada hari penamaan calon PRU-15 pada 5 November lalu, Karupaiya, ditentang Hamzah Abd Rahman (Parti Pejuang Tanah Air – PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional – BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan – WARISAN) dan calon bebas, Ananda AK.

Bagi Dewan Negeri Tioman pula menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A Bakar (PEJUANG), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan – PH) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN).

Mengulas lanjut, Datuk Ikmalrudin menyarankan bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan sebelum hari penamaan calon.

Selain itu, bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal calon baharu yang mewakili mana-mana parti politik adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

“Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC. Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.

Loading...
Terkini