comscore
Tumpuan :
Politik

Calon Parlimen Padang Serai henti kempen, poster akan diturunkan

KULIM: Semua calon yang bertanding di kerusi Parlimen Padang Serai menghentikan kempen masing-masing sebagai menghormati penyandang kerusi itu, mendiang M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia semalam.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati poster semua calon termasuk Karupaiya yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih tergantung di sekitar Padang Serai.

Difahamkan, jentera parti PH akan menurunkan semua poster wajah mendiang yang digantung di semua bilik gerakan parti dan sepanjang jalan dalam tempoh terdekat ini.

Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu, Datuk C Sivaraj antara pemimpin terawal menghentikan serta-merta kempen sebaik menerima berita kematian Karupaiya.

Katanya, tindakan itu sebagai tanda hormat kepada mendiang yang meninggal dunia secara mengejut di Hospital Kulim petang semalam.

“Secara peribadi saya memang tidak mengenali mendiang, namun kami pernah bersama menghadiri program di kawasan ini.

“Berikutan itu, sebagai tanda hormat atas pemergian mendiang, saya hentikan serta-merta semua kempen dan akan menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, turut mengambil langkah sama terutama berkaitan ceramah selepas SPR tidak lagi mengeluarkan permit sehingga pengumuman baharu dikeluarkan.

“Dalam mesyuarat bersama Pejabat Daerah Kulim dan SPR Kedah hari ini, wakil saya dimaklumkan bahawa kempen melalui ceramah perlu dihentikan sementara sehingga pengumuman baharu dikeluarkan.

“Bagi pihak PN, kita akan akur dengan arahan itu dan kami turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan penyokong mendiang, saya harap mereka bersabar dan tabah,” katanya.

Mendiang Karupayia disahkan meninggal dunia jam 2.27 petang semalam akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Hospital Kulim.

Karupayia yang memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU14 berdepan pertembungan enam penjuru. Selain Sivaraj dan Azman, tiga lagi calon adalah Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan penetapan tarikh penting urusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini