comscore
Tumpuan :
Politik

Calon ‘Payung Terjun’ Hanya Rosakkan Peluang UMNO

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim

ARAU: Tindakan meletakkan calon ‘payung terjun’ bukan hanya memperjudikan nasib parti, malah berisiko merosakkan peluang UMNO untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Perkara itu dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menegaskan pihaknya menolak sama sekali kemasukan individu dari luar sebagai calon untuk bertanding di mana-mana di kawasan di Arau pada PRU15.

Beliau berkata, perkara ini harus dilihat secara serius kerana penamaan sesuatu calon itu perlulah melihatnya dari kriteria calon boleh menang dan bukannya calon ‘payung terjun’ yang tidak dikenali pengundi di kawasan itu.

“Bahayanya ada calon ‘payung terjun’ ini akan menyebabkan kita tidak boleh menang dan jika kita menang pun, majoritinya hanya sedikit dan tipis.

“Jadi dalam soal ini untuk meletakkan sesuatu calon itu perlulah melihat bahawa calon itu adalah calon boleh menang atau tidak,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama UMNO Bahagian Arau di sini, semalam.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kriteria WALI merujuk kepada ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ diterima dan ‘likeable’ disukai akan diambil kira parti dalam menentukan calon PRU15.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau berkata, di peringkat bahagian pihaknya mencadangkan banyak dalam kategori boleh menang untuk PRU15 untuk dipertimbangkan kepemimpinan parti.

“Saya percaya UMNO Pusat khususnya lima kepimpinan tertinggi UMNO atau ‘Top 5’ sentiasa memikirkan langkah yang mampu memberikan kemenangan kepada parti itu terutama di Parlimen Arau,” katanya.

Terdahulu, Shahidan menyampaikan taklimat PRU kepada hampir 1,000 ahli dan jentera UMNO Bahagian Arau dan berharap jentera parti di peringkat cawangan dapat meneruskan kerja kuat dalam mendekati pengundi khususnya dalam memberikan maklumat tepat mengenai usaha dilakukan kerajaan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini