comscore
Tumpuan :
Politik

Calon Pejuang imbau kenangan silam

Hamzah mengundi di SK Bukit Selarong sempena PRU-15 Padang Serai. FOTO : LUQMAN HAKIM ZUBIR

KULIM: Selepas beberapa dekad meninggalkan sekolah, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerusi Parlimen Padang Serai ternyata beremosi apabila menjejak kaki di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selarong di sini hari ini untuk mengundi.

Hamzah Abdul Rahman, 59, yang lengkap berbaju Melayu dilihat sebak ketika berkongsi kisah silamnya yang pernah belajar di sekolah itu dari darjah satu hingga enam.

Ahli perniagaan yang juga anak jati kelahiran Padang Serai itu berkata beliau turut berbangga kerana kehadirannya ke sekolah itu kini adalah sebagai calon pilihan raya.

“Saya dibesarkan di sini ketika kecil dan menghabiskan bertahun-tahun belajar di sekolah ini.

“Selepas beberapa dekad, saya bangga kerana datang kembali sebagai calon dan mahu menabur bakti serta khidmat kepada rakyat di sini,” katanya ketika ditemui media selepas selesai mengundi.

Hamzah turut berharap pengundi akan menunjukkan solidariti kepada calon tempatan berbanding mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bukan berasal dari Padang Serai.

“Kerajaan sudah dibentuk dan sekiranya PH atau PN menang ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Saya orang tempatan dan calon Bebas juga orang tempatan tetapi dua lagi calon (PN dan PH) bukan dari sini…Jadi diharapkan pengundi dapat buat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

PRU-15 Padang Serai terpaksa ditangguhkan susulan kematian calon PH M Karupaiya, 69 pada 16 November lalu selepas dua hari dimasukkan ke Hospital Kulim.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini