comscore
Tumpuan :
Politik

Calon Perpaduan PRK Sungai Bakap diumum 12 Jun

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Rabu depan (12 Jun).

Pengumuman itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, malam tadi.

“Kita akan umumkan calon pada 12 Jun iaitu Rabu depan.

“Kita terima hakikat bahawa kita turun ke gelanggang PRK ini sebagai underdog, namun kita yakin dapat kembalikan semula kerusi Sungai Bakap kepada gabungan Perpaduan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional peringkat negeri.

Sebelum ini, Perpaduan Pulau Pinang memutuskan calon dari PKR akan bertanding mewakili gabungan itu dalam PRK kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 2 Julai sebagai hari pengundian PRK, manakala 22 Jun sebagai hari penamaan calon.

Kerusi Sungai Bakap diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff, 56 tahun, meninggal dunia 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini