comscore
Tumpuan :
Politik

Calon PRK Sungai Bakap akan dimuktamadkan minggu depan – PM

Oleh: Syafiqah Damanhuri

SEPANG: Cadangan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bakal dimuktamad dalam satu mesyuarat kepimpinan parti nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini ada cadangan untuk meletakkan calon dari parti PKR untuk kerusi berkenaan.

“Kita dah ada senarai, kita sudah ambil calon yang layak. Ramai yang layak. InsyaAllah kita umum pada minggu depan.

“Tarikhnya saya minta Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli umumkan. Tengok tarikh yang sesuai minggu depan.

“Tapi selalunya, proses ini kita bincang dengan kepimpinan parti. Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) untuk kita maklum dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya yang ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

Sebelum ini Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula dilaporkan berkata kepimpinan tertinggi PKR mengadakan pertemuan bersama
Presiden PKR pada petang semalam bagi menentukan hala tuju dan calon untuk kerusi DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini