comscore
Tumpuan :
Politik

Cikgu Aru calon MIC DUN Sabai

Cikgu Aru (dua kiri) bersama anggota MIC selepas menerima surat watikah pelantikan.

KUANTAN: Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam diumumkan sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekaligus menamatkan spekulasi mengenai kerusi itu.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Arumugam yang juga bekas guru sudah menerima watikah pelantikan untuk bertanding di Sabai iaitu di kawasan Parlimen Bentong.

Menurut beliau, pemilihan Arumugam atau dikenali sebagai Cikgu Aru itu dengan harapan kerusi berkenaan akan menjadi milik BN selepas ini.

“Bagi DUN Cheka pula, pengumuman calon akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang di sini pagi tadi, Wan Rosdy tidak mengumumkan calon di DUN Sabai dan Cheka. Ketika pengumuman itu, tiada pemimpin MIC Pahang hadir.

Arumugam tidak menghadiri majlis itu kerana ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC), di Ibu Pejabat MIC.

Difahamkan, Arumugam, bekas guru sekolah menengah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuantan petang ini untuk menerima surat pelantikan daripada Wan Rosdy.

Ketika ditemui, Arumugan berkata, MIC akan memastikan kerusi itu kembali menjadi milik BN selepas dimenangi pembangkang sejak dua penggal lalu.

“Pada PRU lalu, BN meletakkan calon dari luar Sabai dan saya berharap sebagai calon tempatan yang dibesarkan di Karak, Bentong, saya dapat membantu parti menang.

“Selepas dua kali tewas, sudah tentu banyak tekanan untuk mendapatkan sokongan dan memberikan kemenangan tetapi dengan kerja keras selama ini, saya percaya BN boleh memenangi kerusi ini.

“Berdasarkan sokongan kepada BN, ada peningkatan dan saya harap ia boleh diterjemahkan kepada undi untuk MIC di Sabai,” katanya.

Pada PRU-14, DUN Sabai dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) iaitu D Kamache dengan majoriti 495 undi menewaskan calon BN Datuk R Goonasakaren yang memperoleh 3,879 undi, manakala calon PAS Mohd Khairuddin Abdullah (1,308 undi) dan calon bebas T Karunaneethi (145 undi).

Kali terakhir BN menang di DUN Sabai ialah PRU-12 pada 2008 menerusi M Davendran yang memperoleh 3,304 undi manakala D Kamache yang bertanding atas tiket DAP hanya memperoleh 3,159 undi. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini