comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Comeback’ dalam UMNO bukan untuk tanding PRN – Ahmad Bashah

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan langkah beliau kembali merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, adalah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Langkah untuk kembali dalam barisan kepimpinan utama UMNO negeri katanya, adalah bagi membantu memperkukuhkan Barisan Nasional (BN), selepas parti itu berhadapan kekalahan di kesemua kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada Mei lalu.

“Saya telah didekati ahli parti di bahagian yang mahu saya mengisi kekosongan selepas Datuk Mohd Yusof Ismail yang menjadi ketua bahagian digantung keahlian dalam parti selama 6 tahun.”

“Saya sudah berusia 73 tahun. Jadi saya berpandangan adalah lebih sesuai ruang diberikan kepada pemimpin yang lebih muda bertanding dalam PRN. Keberadaan kami yang berpengalaman tidak lebih dari membantu membawa kemenangan.”

Datuk Seri Ahmad Bashah akan berhadapan tentangan dari Pemangku Ketua Bahagian, Zambri Mat, 44 dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada 18 Mac ini.

“Usaha membina semula parti memerlukan pengalaman dan tekad yang menyeluruh. Saya ikuti rapat semua perkembangan politik meskipun berehat sejak tahun 2018.”

“Kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan BN di Kedah memerlukan gandingan pengalaman dan strategi politik bagi berhadapan PRN.”

Kedah dijadual untuk mengadakan PRN menjelang Julai tahun ini.

Loading...
Terkini