comscore
Tumpuan :
Politik

DAP 5 kali Op baru berjaya tawan Pulau Pinang, nanti tiba giliran PN – Mohd Yusni

KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang yakin bahawa akan tiba giliran gabungan parti (Perikatan Nasional) itu memerintah negeri berkenaan suatu masa nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III negeri Mohd Yusni Mat Piah berkata ini bukan sesuatu yang mustahil kerana ketika ini PN sudah pun menang 11 daripada 40 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN).

“Ini kita boleh lihat kepada DAP yang buat Op (operasi) Tanjong ( pada pilihan raya umum) 1990,1995 (gagal) kemudian 1999 dan 2004 pun tak dapat (tewas) sehinggalah 2008 (Op kelima) baharu nampak (menang dan berjaya bentuk kerajaan negeri).”

“PN masih baharu tetapi gelombang sudah nampak yang tidak mustahil (atas usaha dan kerja keras) boleh mengambil alih Pulau Pinang nanti,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Millenium, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Mohd Yusni diumum sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga buat penggal kedua selepas berjaya menewaskan pencabarnya Mohd Naim Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 5,537.

Dalam pada itu, Mohd Yusni berkata, beliau seronok dan gembira dengan momentum yang ditunjukkan PN di Pulau Pinang yang ia disifatkan satu kebangkitan untuk rakyat.

“Sebelum ini saya antara satu-satunya wakil tunggal daripada PN yang tinggal pada persidangan terakhir DUN apabila empat ADUN dikeluarkan selepas usul (lompat parti) dibahas.”

“Kali ini, akan kembali balik dengan lebih kuat dan kita akan tengok apa yang kita tawarkan dalam manifesto (PN) yang walaupun tidak mampu mentadbir dan mengambil alih tetapi kita akan bawa serta cadangkan kepada pihak kerajaan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kepala Batas Bukhori Ghazali daripada PN yang berjaya menawan kerusi DUN Pinang Tunggal selepas kalah pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu tidak menyangka menang dengan majoriti tinggi yang undinya didapati bukan sahaja diperoleh daripada pengundi Melayu tetapi bukan Melayu.

“Saya tak sangka menang dengan majoriti hampir 7,000 yang ia satu gelombang besar (dalam DUN Pinang Tunggal).”

“Apa yang saya dapati gelombang ini bukan sahaja terdiri daripada pengundi Melayu tetapi juga bukan Melayu apabila ada satu kawasan di Kampung Selamat (terdiri daripada pengundi cina) yang sebelum ini tidak mengundi PN kini mengundi kita,” katanya.

Selain DUN Penaga dan Pinang Tunggal, PAS turut meluaskan penguasaan dengan memenangi kerusi DUN Sungai Dua; Permatang Berangan; Permatang Pasir; Sungai Bakap dan Pulau Betong.

Manakala rakan sekutu mereka daripada BERSATU berjaya menawan DUN Telok Ayer Tawar; Seberang Jaya; Penanti dan Telok Bahang.

Loading...
Terkini