comscore
Tumpuan :
Politik

DAP nasihat semua bertenang, sabar tunggu keputusan Agong

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menasihatkan semua pihak agar bertenang dan sabar menunggu keputusan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Menurut beliau proses pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih berjalan dan ia sesuatu yang baharu untuk negara berikutan tiada gabungan yang memperoleh kerusi majoriti.

“Ia adalah proses biasa yang perlu dilalui dalam sistem demokrasi berparlimen ala ‘Westminster’ dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anthony memberi jaminan DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Rukun Negara dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan, Loke meminta semua pihak dan mengarahkan semua anggota parti itu supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa.

“Keamanan dan kedamaian dalam kalangan masyarakat mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara ini,” katanya.

Pembentukan kerajan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH dan PN adlah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU-15, Sabtu lalu. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca PRU-15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Perbincangan dan pertemuan diteruskan pagi ini dengan Ahli-ahli Parlimen BN dilaporkan masih bermesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Loading...
Terkini