comscore
Tumpuan :
Politik

Datuk Joe Ghani disenangi penduduk

Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Parlimen Titiwangsa menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Johari Abdul Ghani adalah pemimpin yang kompeten dan berjiwa rakyat.

Johari yang pernah menyandang kerusi itu pada PRU13 dilihat disenangi penduduk disebabkan pelbagai sumbangan membabitkan pembangunan dan bantuan walaupun tanpa jawatan Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Biarpun tewas pada PRU-14 kepada Datuk Seri Rina Harun yang ketika itu mewakili Pakatan Harapan (PH), ia tidak menjadi penghalang untuk Johari terus berbakti kepada warga Titiwangsa dan itu diakui oleh penduduk setempat.

Bagi Sibni Rifaie, 78, yang kini tidak mampu berjalan selepas terjatuh dalam bilik air pada 2018, menjelaskan Johari sering menziarahi dan menghulurkan bantuan kepadanya.

“Kebanyakan wakil rakyat kita tahu nama saja tapi tak kenal muka. Datuk Joe (panggilan mesra Johari) lain, sebab beliau selalu turun padang untuk pantau keadaan rakyat. Rumah saya ini pun beliau yang banyak bantu. Saya sangat hormat dia,” katanya yang juga penghuni flat Desa Pandan, di sini.

Malah, Sibni mengakui Johari akan sentiasa memenuhi sebarang jemputan masyarakat dalam apa jua sambutan.

“Penduduk di sini memang selesa dengan dia. Apa sahaja aktiviti yang kita buat beliau selalu datang. Mudah-mudahan beliau boleh terus pantau kawasan ini,” katanya.

Pekerja swasta, Kamisah Miswan, 61, berkata Johari sentiasa menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai dan bakul makanan biarpun sudah tidak menjadi wakil rakyat.

“Walaupun beliau tewas pada PRU-14, tapi tetap bagi bantuan. Saya tak tengok parti, tapi lihat siapa yang akan mewakili rakyat nanti.

“Kalau pelajar sekolah pun ada juga bantuannya. Setiap tahun beliau akan hantar seramai 10 ibu tunggal untuk mengerjakan umrah,” katanya.

Selain itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Maknah, 56, mengakui Johari adalah seorang yang selalu mengambil berat keadaan warga Titiwangsa selain banyak membantu menyelesaikan isu penduduk.

“Kami sudah biasa dengan Datuk Joe ini sejak dia jadi wakil rakyat lagi. Sampai sekarang beliau tak pernah lupa rakyat tak kira sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sudah tak jadi wakil rakyat.

“Setiap perayaan tak kira Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali semua beliau akan bagi sumbangan,” katanya.

Pada PRU-15, Johari akan berdepan dengan calon PH, Khalid Abdul Samad; Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PEJUANG) serta Dr Rosni Adam mewakili Perikatan Nasional (PN).-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini