comscore
Tumpuan :
Politik

Dewan Negeri Selangor Akan Bersidang Mulai 23 Ogos

Dewan Negeri Selangor akan bersidang mulai 23 Ogos hingga 6 September 2021 ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu kenyataan memaklumkan, sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas.

Menurut beliau lagi, sidang DUN kali ini akan dijalankan dengan kawalan Tatacara Pengendalian Piawai dan memfokuskan kepada segala usaha Kerajaan Negeri Selangor menangani penularan wabak COVID-19, serta mendapatkan maklum balas dan cadangan dari Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.

Ini juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan Kerajaan Negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa yang sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak COVID-19 di Selangor.

Dalam kenyataan itu juga, Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda dan Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri Selangor.

Sultan Selangor juga telah berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 23 Ogos 2021.

Dewan Negeri Selangor kemudian akan mula bersidang selama lapan hari, iaitu 24 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 serta 6 September 2021.

Loading...
Terkini