comscore
Tumpuan :
Politik

Dilabel ‘YB lampin pakai buang’ Mas Ermieyati dah lali

MASJID TANAH: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sudah lali dilabel sebagai wakil rakyat atau YB lampin pakai buang yang dilemparkan pihak tertentu kepadanya.

Beliau sebaliknya menjelaskan sumbangan 500 pek lampin pakai buang sebulan kepada kepada anggota komuniti di kawasan itu penting kerana ramai anggota komuniti, terutama warga emas amat memerlukannya berikutan masalah kesihatan yang dihadapi mereka.

“Ramai orang datang ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah minta, jadi kita bagi 500 lampin pakai buang setiap bulan. Ada pihak tertentu gelar saya YB lampin pakai buang, kononnya saya tak bawa pembangunan di Masjid Tanah.

“Kononnya saya asyik beri lampin pakai buang, tetapi sebenarnya walaupun sumbangan itu nampak kecil, nilainya amat besar kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian peralatan menggali kubur dan membersihkan kawasan perkuburan kepada tujuh masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Kampung Londang, di sini petang tadi.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati bercadang mewujudkan pusat penjagaan warga emas, khusus untuk menjaga kebajikan warga emas yang tinggal sendirian berikutan anak mereka merantau mencari rezeki.

“Saya bercadang mewujudkan pusat penjagaan warga emas dengan anak warga emas turut memberikan sumbangan untuk mengupah jururawat menjaga ibu bapa mereka,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, sepanjang menyandang jawatan Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak 2013, beliau sudah membawa projek pembinaan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Beliau bercadang mendapatkan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan untuk meningkatkan kemudahan di kompleks sukan itu dengan membina trek bagi sukan balapan.

Selain itu, katanya, beliau membantu mendapatkan peruntukan bagi membina dewan di Kampung Sungai Tiang dan Lubuk Redan serta membantu memajukan projek ekopelancongan bernilai RM2.036 juta di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat sini.

Mas Ermieyati juga menyifatkan tindakannya keluar UMNO pada 2018 dan menyertai BERSATU bukan lompat parti, sebaliknya berhijrah demi kebajikan dan kebaikan anggota komuniti Masjid Tanah.

“Waktu itu saya dalam UMNO dan UMNO/Barisan Nasional (BN) ketika itu pembangkang dan saya boleh sahaja duduk ontok-ontok (diam), lagi tak ada orang datang pusat khidmat, lagi baik.

“Bagaimanapun itu bukan cara saya kerana saya ingin memberikan perkhidmatan kepada anggota masyarakat, jadi saya berhijrah dan mendapatkan peruntukan untuk membantu rakyat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini