Tumpuan :
Politik

Dominic terbuka terima permohonan maaf PAS, mahu teruskan kempen

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau. Foto NSTP.

BAYAN LEPAS: Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau hari ini berkata, beliau menerima dengan hati terbuka permohonan maaf PAS berhubung insiden beliau diminta meninggalkan Ceramah Mega Terbaik Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor yang turut dihadiri Tan Sri Abdul Hadi Awang, Selasa lalu.

“Saya ‘reda’ dengan apa yang berlaku dan saya terima dengan hati terbuka permohonan maaf PAS. Tetapi apa yang ingin saya katakan ini adalah kesilapan kecil dan sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Mari kita bekerja keras untuk mendapatkan mandat rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini,” katanya kepada pemberita, di sini.

Artikel berkaitan: PAS mohon maaf insiden Dominic ‘diminta keluar’ ketika ceramah PN

Terdahulu PAS menegaskan pemilihan Presiden GERAKAN itu sebagai calon PN bagi kerusi Bayan Lepas di dewan undangan negeri (DUN) Pulau Pinang dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pemilihan itu juga melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, lantas semua ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, beliau juga percaya segala-galanya sudah diselesaikan tanpa sebarang persoalan.

“Janganlah kita menoleh ke belakang. Apa yang betul, apa yang salah, apa yang salah faham… semuanya sudah diketepikan.

Seperti yang saya katakan, ini hanya kesilapan yang sangat kecil. Ini tidak menggambarkan hubungan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN). Semua parti komponen harmoni,” katanya.

Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN dan Pengerusi PN negeri, turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow atas keprihatinannya yang mencabar GERAKAN untuk menarik diri daripada pilihan raya negeri sebagai tanda protes.

“Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba dia begitu mengambil berat tentang saya. Tetapi apa yang dia perlu risaukan adalah mengenai apa yang berlaku dalam partinya sendiri. Beliau mesti mendedahkan siapa ‘maharaja’ dalam parti, yang pernah disebut oleh bekas timbalannya Dr P Ramasamy.

Sila jawab kerana kami, sebagai rakyat Pulau Pinang, berhak untuk mengetahuinya. Kedua, seperti yang dinyatakan kerana saya tidak pasti dengan politik DAP, adakah benar ahli Exco kerajaan negeri (exco) yang sealiran dengannya tidak diletakkan sebagai calon pada PRN ini? Saya harap beliau dapat menjawab soalan-soalan ini.

Apa yang Chow perlu jaga ialah politiknya sendiri. Saya rasa PN okey. Tiada apa-apa yang akan berlaku.

Kami akan keluar habis-habisan dalam baki hari berkempen,” katanya.

Ditanya adakah penyokong PAS yang hilang daripada kempennya, akan tampil membantu susulan permohonan maaf yang dikeluarkan parti itu, Dominic berkata, dia berkempen mengikut PDM (Pusat Daerah Mengundi) malah ramai orang datang membantunya, termasuk daripada MCA.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Apa yang penting ialah bagaimana kita meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kita sehingga mereka memberi mandat kepada kita,” katanya.

Loading...
Terkini