comscore
Tumpuan :
Politik

Dr Noor Azmi mungkin tanding Bebas jika tidak dicalon PN

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

BAGAN SERAI: Penyandang Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, memberi bayangan akan bertanding sebagai calon Bebas di Bagan Serai.

Ia sekiranya beliau tidak dicalonkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau memberitahu sehingga hari ini belum ada jawapan mengenai kedudukan calon yang bakal diletakkan di kerusi itu bagi mewakili PN.

“Setakat ini, tiada mana-mana pihak yang boleh menyatakan bahawa telah dipilih oleh kepemimpinan tertinggi PN.

“Pada masa ini belum ada keputusan dari pucuk pimpinan parti. Saya percaya senarai nama calon yang bakal bertanding akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini.

“Saya masih lagi berpegang kepada prinsip janji iaitu penyandang dikekalkan bagi mempertahankan kerusi ini, apatah lagi saya adalah anak tempatan di sini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 Peringkat Negeri Perak di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Beliau yakin sekiranya dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi ini mampu meraih kemenangan buat Perikatan Nasional (PN) di atas beberapa sentimen yang sedia ada di kawasan ini.

“Sepanjang dua penggal menyandang kerusi ini, saya dapati bahawa rakyat Bagan Serai mempunyai sentimennya tersendiri iaitu lebih mengutamakan calon tempatan daripada calon luar.

“Tapi saya tak tahulah di Parlimen Bagan Serai, mana tahu kalau ada orang tiba-tiba nak bertanding Bebas kan, anak tempatan nak bertanding Bebas mungkin faktor keutamaan anak tempatan juga mampu menang,” katanya.

Loading...
Terkini