comscore
Tumpuan :
Politik

Dr Yadzil kini Ketua Pembangkang DUN Melaka

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu bagi tempoh sepenggal akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu menggalas jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari kini berada di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Memandangkan Pengerusi PH negeri sendiri sudah menyatakan berada dalam blok kerajaan, jadi secara automatiknya saya dengan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof adalah pembangkang di Melaka.

“Sebagai Pengerusi PN negeri, saya adalah Ketua Pembangkang DUN pada ketika ini, dengan kedudukan di dewan telah berubah, saya sendiri telah duduk di kerusi paling hujung sekali sebagai ketua pembangkang,”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri di sini hari ini.

Menurut Dr Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, walaupun hanya mempunyai dua suara di dalam DUN, beliau akan berusaha menjadi pembangkang yang lebih aktif.

“Salah satu caranya adalah menjalankan peranan semak dan imbang untuk memastikan kerajaan berjalan dengan baik, telus dan kurangkan ketirisan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kita akan mengamalkan satu politik matang agar segala apa yang diperjuangkan untuk rakyat dilakukan sebaik mungkin.

“Walaupun hanya saya dan Dr Mohd Aleef, tapi bila kita berbual dengan rakan ADUN PH, mereka tetap menyuarakan isu-isu yang timbul menggambarkan jiwa pembangkang itu masih ada,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lalu, Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar apabila menang 21 kerusi manakala PH (lima) dan PN dua kerusi.

Kerajaan Perpaduan terbentuk selepas keputusan Pilihan Raya Ke-15 lalu menunjukkan tiada gabungan parti politik yang memperoleh majoriti mudah yang menyaksikan ia disertai PH, Barisan Nasional (BN) dan parti-parti lain sehingga berjaya memperolehi majoriti melebihi 112 kerusi.

Loading...
Terkini