GEORGE TOWN: Kejayaan mengekalkan kemenangan di DUN Air Putih, calon PH Lim Guan Eng bertekad memberi tumpuan sepenuhnya dalam menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
Beliau yang menang dengan 8,710 undi menewaskan calon PN Ivan Kong (764) dan calon PRM Teh Yee Cheu (426).
“Kami sebagai kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan bukan sahaja akan berkhidmat di DUN Air Putih tetapi di (seluruh) Pulau Pinang.
“Fokus utama kita adalah berkhidmat kepada rakyat, jadi perlu bekerja bersungguh-sungguh, fokus dan perlu menjadi suara kepada pengundi serta harus pastikan projek yang dirancang dapat dilaksana dengan sempurna,” katanya ketika ditemui di Dewan Masyarakat Penyayang, di sini, hari ini.
Menurut Guan Eng lagi, beliau turut mengucapkan tahniah susulan kemenangan kerusi seperti di DUN Bagan Dalam dan Perai.
“Difahamkan bahawa kerajaan negeri memperoleh kemenangan sebanyak dua pertiga iaitu setakat ini 29 daripada 40 kerusi.
“Seperti di (DUN) Bagan, Bagan Dalam, Prai, dan Bagan Jermal yang mana kita letak calon baharu dan menang dengan selesa,” katanya lagi.