comscore
Tumpuan :
Politik

‘Fokus utama selesai masalah nelayan jika menang PRU15’

Calon BN Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Menyelesaikan masalah nelayan termasuk mendalamkan muara Tok Jembal antara tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Katanya, nelayan adalah antara golongan yang perlu diberi tumpuan selain golongan berpendapatan rendah lain seperti petani, pekebun dan golongan miskin.

Beliau berkata, antara masalah yang perlu diselesaikan dengan segera adalah projek mendalamkan muara sungai yang menjadi laluan pintu masuk utama nelayan untuk keluar ke laut.

“Saya tidak suka berjanji. Saya hanya menceritakan apa yang telah saya buat selama sembilan tahun dan itulah pertaruhan untuk PRU kali ini.

“Jika saya dipilih, saya akan meneruskan projek berkenaan sebaik sahaja selesai pilihan raya,” katanya selepas menghadiri program bantuan beras dan ayam segar kepada penduduk di kawasan Pasar Batu Enam, hari ini.

Katanya, projek mendalamkan muara berkenaan memerlukan peruntukan yang besar dan ia masih dalam rundingan dengan Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS) kerana selain projek berkenaan ada beberapa lagi projek yang akan dilaksanakan di Parlimen berkenaan.

“InsyaAllah kalau menang, kita akan gerakkan secara lebih eksklusif lagi dengan kerajaan yang baharu untuk kita pastikan bahawa semua keperluan rakyat yang melibatkan nelayan, kita akan cuba selesaikan,” katanya.

“Selepas PRU, kita akan terus bergerak dan berbincang lebih dekat lagi dengan menteri yang baru untuk kita jadikan (mendalamkan muara) sebagai projek segera sekaligus menyelesaikan masalah muara cetek kepada seramai hampir 2,000 nelayan di Kuala Nerus” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, peruntukan daripada Persekutuan diberikan kepada nelayan menghadapi musim tengkujuh.

Namun katanya, bantuan keperluan semasa perlu diteruskan dan bukan hanya pada musim tengkujuh sahaja.

“Kalau saya sendiri ketika menjadi ahli Parlimen, saya sediakan beras untuk rakyat dan mereka boleh mengambil beras ini di pejabat saya.

“Rakyat hanya perlu bawa kad pengenalan dan tulis nama sahaja, kita tak buat soal siasat pun, ini adalah bantuan yang saya buat secara berterusan tanpa henti tiap-tiap hari,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi membuat pilihan tepat untuk terus berkhidmat untuk rakyat Kuala Nerus.

Loading...
Terkini