comscore
Tumpuan :
Politik

Gabungan PN, BN tidak relevan, buang masa – Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

BATU PAHAT: Sebarang cadangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu sudah tidak lagi relevan dan hanya membuang masa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menegaskan perkara berkenaan dan menggesa semua pihak supaya tidak lagi memikirkan serta membangkitkan soal kerjasama itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Mohd Puad berkata, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat penggal.

“Isu PN dan BN bergabung jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah mengarut.

“Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sama sahaja. Dua-dua suka tikam belakang,” katanya.

Mohd Puad berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang pemimpin BERSATU, yang mendakwa perubahan dalam kepemimpinan parti itu mungkin menjadi pemangkin kepada PN untuk menawan semula Putrajaya melalui pakatan baharu dengan BN.

Pemimpin BERSATU yang enggan dikenali itu menerusi temu bual dengan sebuah portal berita mendedahkan, PN terlepas peluang untuk membentuk kerajaan selepas PRU lalu kerana Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut pemimpin berkenaan, ramai dalam BERSATU percaya UMNO mungkin lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mereka jika diterajui oleh pemimpin yang lebih pragmatik seperti Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin.

“BERSATU pimpinan Hamzah boleh bekerjasama dengan UMNO dan PAS. Kunci kepada penerimaan UMNO ialah Hamzah, yang tidak mahu ‘membunuh’ UMNO, bukan seperti Muhyiddin,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad menegaskan, Malaysia tidak memerlukan pertukaran kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dan sebarang usaha ke arah itu mesti dihalang.

“UMNO bukan pak turut dalam kerajaan baharu. UMNO adalah rakan yang boleh bekerjasama demi rakyat,” katanya.

Loading...
Terkini