comscore
Tumpuan :
Politik

Gagasan Rakyat terbuka untuk bekas pemimpin, ahli BERSATU Sabah

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun ditemui pemberita pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah, di Kota Kinabalu malam tadi. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang bakal diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terbuka untuk disertai bekas ahli BERSATU Sabah termasuk pemimpinnya.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun, berkata Gagasan Rakyat yang dijangka dilancarkan Hajiji dalam masa terdekat sentiasa terbuka menerima bekas ahli BERSATU Sabah yang sebelum ini menyertai bekas pemimpinnya keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, keahlian Gagasan Rakyat juga terbuka kepada ahli langsung yang berdaftar bersama GRS, selain individu lain yang berminat dengan perjuangan politik menerusi parti tempatan berkenaan.

“Mereka (bekas ahli BERSATU) dipelawa memohon untuk menjadi ahli Gagasan Rakyat. Kita sentiasa terbuka terutama kepada bekas ahli BERSATU untuk menyertai parti baharu ini.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin memilih haluan sendiri, kita ucapkan selamat berjaya tetapi yang pasti ialah kita cuba sedaya upaya untuk mengumpulkan tenaga dan kekuatan keahlian khususnya bekas ahli BERSATU,” katanya ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah, di sini, malam tadi.

Ketika ditanya mengenai struktur parti baharu berkenaan, Masidi berkata, pihaknya akan memulakan dengan penubuhan bahagian di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, penubuhan bahagian Gagasan Rakyat di negeri ini akan menggunakan 73 kawasan DUN berbanding 25 kawasan Parlimen yang digunakan sebelum ini.

“Bahagian ini kita akan buat mengikut DUN. Ini kerana kita ingin memberi peluang kepada seberapa ramai pemimpin baharu untuk dikemukakan sebagai pemimpin pelapis.

“Tumpuan kita juga adalah untuk memastikan potensi pemimpin muda dapat diketengahkan dengan mewujudkan lebih banyak bahagian,” katanya.

Semalam, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan akan mengetuai Gagasan Rakyat, iaitu sebuah parti tempatan sedia ada di negeri ini yang diambil alih.

Katanya, parti itu dijadikan landasan baharu untuk meneruskan perjuangan selepas meninggalkan BERSATU dan sudah diterima sebagai parti gabungan GRS pada 9 Disember lalu.

“Insya-Allah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Rakyat demi pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai Ketua Menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Rakyat,” katanya.

Disember lalu, Hajiji mengumumkan keputusan sebulat suara pemimpin BERSATU Sabah untuk meninggalkan parti itu sejajar pendirian GRS menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu menimbulkan dakwaan yang mengatakan Hajiji tidak layak lagi menjadi Ketua Menteri kerana sudah tidak berparti selepas keluar daripada BERSATU.

Ia antara punca berlaku cubaan untuk menjatuhkannya dan kerajaan pimpinannya oleh sebahagian pemimpin UMNO Barisan Nasional (BN) Sabah dan Parti Warisan (WARISAN) namun gagal pada awal bulan ini.

Dengan penyertaan Gagasan Rakyat, GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini